KUALA LUMPUR 21 Okt. – Hasil siasatan dan keputusan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang mendapati agen penyebab keracunan laksa yang dibeli dari gerai di Kupang, Baling, Kedah adalah salmonella enterica serovar weltevreden.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakteria tersebut telah dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan sampel mi laksa terlibat.
Ujarnya, dengan menggunakan kaedah ujian Pulse Field Gel Electrophoresis (PFGE), didapati bakteria tersebut berpunca daripada satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober lalu dari gerai terbabit.
“Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober lalu dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, iaitu milik pengusaha yang juga tuan punya gerai tersebut.
“Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca daripada proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih, serta suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesan dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan terdapat 80 kes keracunan makanan dipercayai berpunca daripada laksa kebok yang mana 31 kes termasuk dua kes kematian dilaporkan di Perak, sebanyak 25 kes di Kedah dan 24 kes lagi di Selangor. – UTUSAN ONLINE











