KUCHING 26 Okt. – Polis masih belum menerima laporan bedah siasat kedua berhubung kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyarham Nazrin Hassan hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, setakat ini, pihak terbabit masih lagi menjalankan kajian terhadap kematian berkenaan.
“Kami masih lagi belum menerima laporan kedua bedah siasat berkenaan.
“Setakat ini, belum ada perkembangan lanjut mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Pemeriksaan Balai PTKN A117 Kontinjen Sarawak di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd. Dzuraidi Ibrahim.
Tambahnya, beliau juga belum dapat memastikan sama ada akan ada lagi beberapa orang dipanggil bagi membantu siasatan.
“Buat masa ini, tiada sesiapa akan dipanggil kerana perlu menunggu laporan itu siap,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










