KUALA LUMPUR 25 Okt. – Bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik Kerajaan Malaysia sebanyak AS$12.1 juta (RM50.43 juta), April dan Mei lalu.
Hasanah, 61, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Hasanah sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) didakwa telah melakukan pecah amanah ke atas wang sebanyak AS$12.1 juta (RM50.43 juta) milik kerajaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, JPM, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










