Harvard didakwa diskriminasi pelajar Asia - Utusan Malaysia

Harvard didakwa diskriminasi pelajar Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK – Universiti terkemuka, Harvard dibicarakan kelmarin berhubung proses pemilihan pelajar yang didakwa pengkritik-pengkritik sebagai mendiskriminasikan pelajar Asia.

Saman tersebut mencabar kriteria kaum sebagai faktor dalam pemilihan kemasukan pelajar ke Universiti Harvard.

Hakim Persekutuan, Allison Dale Burroughs mendengar hujah pembukaan dalam perbicaraan tanpa panel juri itu di Boston. Perbicaraan itu dijangka berlarutan selama tiga minggu.

Pengurusan Harvard nafi mendiskriminasikan pelajar Asia tetapi mempertahankan penggunaan pelbagai kriteria seperti personaliti untuk memilih pelajar dan tidak terhad kepada kecemerlangan akademik sahaja dalam usaha membentuk majlis perwakilan pelajar yang diwakili pelbagai kaum.

Universiti berkenaan juga menyatakan bahawa peratusan pelajar berketurunan Asia meningkat dengan banyak sejak tahun 2010 dan sehingga kini, merangkumi sekitar 23 peratus daripada 2,000 pelajar baharu yang diterima Harvard daripada 40,000 pemohon.

Selain itu, terdapat kira-kira 15 peratus pelajar kulit hitam dan 12 peratus pelajar Latin di Universiti Harvard.

Saman tersebut dikemukakan oleh sebuah kumpulan dikenali sebagai Pelajar untuk Kemasukan Adil yang diketuai aktivis kulit putih, Edward Blum yang sebelum ini menyerang dasar serupa oleh Universiti Texas.

Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) tidak memihak kepadanya pada tahun 2016 dan mengekal dasar kemasukan universiti berkenaan.

Dalam hujah pembukaan, peguam kumpulan itu, Adam Mortara mendakwa bahawa Harvard telah menggunakan kriteria personaliti untuk menafikan kemasukan pelajar Asia berbanding pemohon berketurunan Latin, kulit hitam dan kulit putih.

Sementara itu, pentadbiran Presiden Donald Trump menyokong saman Blum dengan menyatakan, Harvard mengamalkan ‘imbangan kaum’ dalam proses kemasukannya walaupun terpaksa meminggirkan pelajar Asia. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN