KUALA LANGAT 17 Okt. – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Langat tidak ketinggalan memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara baru-baru ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti kecergasan.
Antara program yang diadakan ialah 90 Minit Dancevaganza, Klinik Asas Gim, Klinik Futsal Bawah 12 Tahun, Show Body Art & Freestyle serta pameran dan pemeriksaan kesihatan.
Kira-Kira 500 orang terdiri daripada penggiat sukan kecergasan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah serta penduduk setempat menyertai aktiviti yang disediakan itu.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd. Jusni Hashim berkata, program sedemikian baik untuk menggalakkan generasi muda dan golongan berusia bersenam bagi menjaga kesihatan.
“Saya berasa bangga dan gembira atas sambutan yang memberangsangkan daripada komunti setempat dalam Hari Sukan Negara kali ini.
“Program sebegini perlu sentiasa diadakan untuk mewarnai dunia sukan khususnya di daerah ini,” katanya.
Beliau berucap dalam program tersebut yang turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat di Kompleks Sukan Majlis Daerah Kuala Langat, baru-baru ini.
Yang hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin. – UTUSAN ONLINE










