KUALA LUMPUR – Harga rumah bagi projek perumahan baharu dijangka turun sebanyak 10 peratus susulan langkah kerajaan mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, ia hasil persetujuan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) untuk melaksanakan penurunan harga itu.
“Pengecualian SST kita telah berikan kepada bahan binaan untuk memberi rangsangan kepada sektor hartanah dan kita harap ia boleh menyebabkan penurunan harga rumah.
“Kita harap dan tunggu untuk lihat harga baharu rumah seperti yang diumumkan Rehda. Terima kasih kerana mereka memberi respons kepada pengecualian SST untuk bahan binaan ini walaupun pada saat-saat akhir kerana dateline akhir bulan ini, sekurang-kurangnya boleh turun kepada tahap 10 peratus,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Guan Eng, bagaimanapun, menjelaskan bahawa penurunan harga rumah itu tidak melibatkan projek perumahan harga terkawal seperti projek rumah kos rendah dan sederhana rendah. – Bernama









