KANGAR 21 Okt. – Pemilihan PKR yang berlangsung di Perlis hari ini hambar khususnya daripada jumlah kehadiran pengundi yang kurang memberangsangkan membabitkan cabang Kangar, Arau dan Padang Besar.
Difahamkan di cabang Kangar, setakat pukul 3 petang ini, hanya 151 orang daripada lebih 2,000 ahli hadir menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin peringkat Pusat dan cabang itu.
Di Arau, jumlah pengundi yang hadir setakat ini ialah lebih 300 orang daripada keseluruhan 2,000 ahli di cabang itu.
Padang Besar juga mencatatkan jumlah kehadiran yang hampir sama setakat ini.
Di Perlis, terdapat 5,490 ahli yang layak mengundi bagi memilih barisan pemimpin peringkat Pusat dan cabang-cabang parti itu dalam pemilihan kali ini.
Sementara itu, calon Ketua PKR Cabang Arau, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, proses pengundian setakat ini berjalan lancar dan diharap jumlah yang keluar mengundi terus meningkat menjelang pukul 5 petang ini.
Manakala, Calon Naib Ketua Cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim berkata, penganjuran pesta air di Kuala Perlis yang sama tarikh dengan pemilihan hari ini menjadi antara faktor kemerosotan jumlah pengundi.- UTUSAN ONLINE










