KOTA SAMARAHAN 26 Okt. – Konsep pertahanan menyeluruh iaitu hanruh akan diperkukuhkan agar rakyat dapat bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata, konsep tersebut telah pun diperkenalkan sebelum ini namun ia tidak benar-benar dibuat dan direalisasikan.
“Justeru, konsep hanruh ini diharap dapat menjadi realiti dan dapat diterjemah dalam kehidupan.
“Kita akan beri tumpuan kepada kesedaran rakyat tentang soal keselamatan, selain memahami tugas serta peranan ATM dalam membina hubungan erat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) dan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) di Kem Muara Tuang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw dan Panglima 1 Divisyen , Mejar Jeneral Toh Choong Siang.
Tambah beliau, tumpuan kementerian adalah soal kesejahteraan warga ATM termasuk veteran bagi jangka panjang.
“Isu kesejahteraan penting kerana berkait dengan soal semangat warga kita yang mana mereka adalah aset paling bernilai,” ujarnya.
Sementara itu, Chin Tong memberitahu, Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diadakan di Pangkalan Udara Kuching di sini merupakan contoh dalam usaha meningkatkan hubungan dan kesedaran kepada anggota masyarakat tentang peranan tentera dan rakyat. – UTUSAN ONLINE










