MEXICO CITY 28 Okt. – Lewis Hamilton semakin hampir merangkul gelaran dunia kelima pada Kejuaraan Formula Satu (F1), tetapi ini tidak bermakna dia memilih jalan selamat sebaik lampu hijau menandakan perlumbaan bermula pada Grand Prix Mexico, esok (awal pagi waktu Malaysia).
Pemandu Mercedes itu akan memulakan aksinya di petak ketiga, di belakang dua pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo dan Max Verstappen, manakala pencabar gelaran dari Ferrari, Sebastian Vettel berada bersamanya di barisan kedua.
Satu-satunya harapan Vettel untuk menangguhkan kemenangan Hamilton ialah dia perlu memenangi perlumbaan tersebut, sementara pesaingnya dari Britain itu hanya perlu mengumpul lima mata dan melengkapkan aksinya di kedudukan ketujuh.
“Semua orang mahu memecut laju menuju ke selekoh satu, yang cukup sempit laluannya. Jika anda mengambil mudah, anda akan dilanggar. Jika anda terlalu agresif pula, anda masih boleh terjebak dalam insiden pelanggaran.
“Justeru, anda perlu berlumba secara normal dan berusaha untuk mencatat kemenangan. Itu yang akan saya lakukan. Maksud saya, kita berada di sini untuk berbuat demikian iaitu berlumba,” kata Hamilton kepada pemberita selepas sesi kelayakan, hari ini.
Hamilton turut berada di kedudukan ketiga dalam perlumbaan di Mexico, tahun lalu dengan gelaran dunia keempat berjaya diraihnya di sini. – REUTERS










