Hamilton sah raih gelaran kelima - Utusan Malaysia

Hamilton sah raih gelaran kelima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY – Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton mungkin boleh dianggap berada setaraf dengan barisan legenda Formula Satu (F1) apabila dinobatkan juara dunia buat kali kelima awal pagi semalam.

Meskipun menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat pada Grand Prix (GP) Mexico di Litar Hermanos Rodriguez, namun ia sudah cukup buat pemandu Britain itu menewaskan pencabar terdekatnya daripada Ferrari, Sebastian Vettel.

Kejuaraan kelima itu membolehkan Hamilton berkongsi kedudukan di tempat kedua sebagai pemenang terbanyak kejuaraan F1 dengan Juan Manuel Fangio, ketinggalan dua kejuaraan di belakang legenda, Michael Schumacher.

Bagaimanapun, Hamilton mengambil pendekatan merendah diri apabila mengakui dia langsung tidak menjangkakan mampu melakukan pencapaian seperti itu sepanjang kariernya.

“Saya tidak mahu terlalu emosi di depan orang ramai tetapi apa yang penting, saya tidak mahu terlalu bangga dengan pencapaian ini. Sebenarnya, sukar untuk jangkakan perkara seperti ini (juara lima kali).

“Saya gembira dan bersyukur dengan kejayaan hari ini (semalam). Terima kasih kepada semua pihak yang membantu. Tanpa mereka, tidak mungkin saya berdiri di sini sebagai juara dunia F1 lima kali,” kata Hamilton.

Pemandu berusia 33 tahun tersebut mengakui musim 2018 merupakan aksi terbaiknya sejak berada dalam saingan F1 apabila memenangi sembilan perlumbaan musim ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN