Hamilton antara lima pemandu terbaik sepanjang zaman - Alonso - Utusan Malaysia

Hamilton antara lima pemandu terbaik sepanjang zaman – Alonso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AUSTIN 19 Okt. – Fernando Alonso menghamburkan pujian terhadap Lewis Hamilton dan mengetepikan Sebastian Vettel sewaktu diminta menamakan lima pemandu handalan Formula 1 (F1) sepanjang zaman, hari ini.

Bercakap dalam sidang akhbar menjelang Grand Prix F1 Amerika Syarikat, hujung minggu ini, juara dunia dua kali dari Sepanyol itu berkata, Hamilton telah membuktikan bakatnya dengan memenangi perlumbaan bersama kereta yang tidak diberi harapan untuk mencipta kejayaan.

“Memang sukar untuk membuat perbandingan berdasarkan era dan kejuaraan yang berbeza, tetapi Lewis berjaya menyamai (Juan-Manuel) Fangio dengan lima gelaran kerana ia merupakan satu pencapaian yang hebat.

“Jika seorang (pemandu) dalam generasi berjaya melakukannya, saya gembira Lewis orangnya kerana dia telah membuktikan bakat dan komitmennya.

“Ketika jentera mendominasi, dia berjaya mempamerkan persembahan yang bagus dan apabila kereta tidak berada pada prestasi yang baik untuk memenangi gelaran dunia, dia masih mampu mempamerkan persembahan yang bagus. Sukar untuk menyaksikan pencapaian sedemikian pada ketika ini,” kata Alonso.

Hamilton hanya perlu menyekat Vettel, juara dunia empat kali, dengan mencipta jurang lapan mata dalam perlumbaan Ahad ini bagi membolehkannya merangkul gelaran dunia kelima, tetapi pemandu tersebut enggan mengulas sebarang kejayaan yang menantinya.

Alonso berulang kali memuji bakat dan kelajuan yang dimiliki Hamilton. Mereka berdua pernah bergandingan di dalam pasukan sama iaitu pada 2007 sewaktu pelumba Britain itu menyertai F1.

“Terima kasih,” kata Hamilton dalam nada perlahan sewaktu memberikan maklum balas terhadap pujian tersebut.

Pelumba Sepanyol itu menyenaraikan lima pemandu terbaik di dunia sepanjang zaman yang terdiri daripada juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher; pemenang lima gelaran, Fangio; juara dunia tiga kali, Ayrton Senna dan juara dunia empat kali, Alain Prost serta Hamilton.

“Mereka ini merupakan lima pelumba terbaik bagi pandangan saya,” kata Alonso. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN