Hamas kecam kunjungan ahli politik dan atlet Israel ke negara-negara Arab - Utusan Malaysia

Hamas kecam kunjungan ahli politik dan atlet Israel ke negara-negara Arab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Hamas mengecam tindakan ahli-ahli politik dan atlet Israel mengunjungi negara-negara Arab termasuk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini.

Gerakan pembebasan Palestin tersebut turut mengecam pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pemimpin-pemimpin Oman.

Hamas berpandangan, perkembangan itu mempunyai kesan negatif terhadap rakyat Palestin dan perjuangan mereka.

“Kami menyeru kepada negara-negara Arab dan Islam agar meneruskan sokongan terhadap rakyat Palestin.

“Teruskan tindakan boikot terhadap rejim Zionis Israel yang mengancam Palestin serta seluruh rantau berkenaan,” tegas Hamas dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hamas menambah, usaha menjalinkan hubungan baik dengan Israel mesti ditolak kerana ia boleh menjejaskan usaha rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.

Menurut Hamas, ia juga boleh menjejaskan perpaduan di negara-negara Arab dan Islam kerana dasar sedemikian adalah bertentangan dengan sentimen rakyat yang menyokong perjuangan membebaskan Palestin.

“Kami membantah usaha ini memandangkan rejim Zionis Israel berterusan melakukan jenayah dan pencabulan terhadap rakyat Palestin.

“Mereka juga mencemarkan tempat-tempat suci umat Islam dengan dasar ‘mengyahudikan’ Baitul Muqaddis, memperluaskan penempatan di Tebing Barat, menguatkuasakan sekatan di Gaza serta menyembelih orang awam termasuk kanak-kanak dengan kejam,” kata Hamas.

Hamas juga berpendapat, normalisasi hubungan dengan Israel akan memberi ruang kepada rejim Zionis itu untuk terus melakukan jenayah dan pencabulan terhadap rakyat Palestin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN