Halang media tidak selari konsep pemilihan terbuka - Utusan Malaysia

Halang media tidak selari konsep pemilihan terbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN 20 Okt. – Tindakan petugas menghalang pihak media daripada masuk untuk membuat liputan di pusat pengundian Pemilihan PKR di negeri ini tidak selari dengan konsep pemilihan yang terbuka dan telus.

Ketua Penerangan PKR negeri, Mokhtar Ahmad berkata, beliau mempersoalkan tindakan pengawas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) di beberapa cabang hari ini yang berbuat demikian.

“Sebelum ini kita difahamkan media memang dibenarkan masuk ke tempat pengundian namun, tidak boleh bergerak bebas dan perlu mematuhi arahan petugas JPP di dalam pusat tersebut.

“Bagaimanapun, kita menerima aduan ada pengamal media tidak dibenarkan masuk di beberapa pusat pengundian. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana petugas JPP boleh menggunakan budi bicara bagi membolehkan liputan media dibuat dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain pusat pengundian di Cabang Tampin, tiga lagi pusat yang tidak membenarkan liputan media sehingga pukul 1 petang tadi adalah Cabang Jempol, Telok Kemang dan Rembau.

Sementara itu, jawatan Ketua Cabang Tampin menyaksikan pertandingan antara Menteri Besar, Aminuddin Harun dengan Timbalan Presiden Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), Kapten (B) Zulkapli Kassim.

Aminuddin sebelum ini merupakan Naib Ketua Cabang Seremban selama dua penggal, manakala Zulkapli mengetuai Cabang Tampin selama dua penggal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN