Hafizh buktikan keupayaan - Utusan Malaysia

Hafizh buktikan keupayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Okt – Rekod pencapaian lalu yang kurang baik di Litar Phillip Island, menyebabkan Hafizh Syahrin Abdullah tidak meletakkan harapan besar menjelang Grand Prix Motosikal Australia, hujung minggu ini tetapi keputusan sesi latihan bebas yang dipamerkan pelumba MotoGP negara itu, hari ini, membayangkan sebaliknya.

Dalam kedua-dua sesi latihan bebas (FP) yang diadakan pada sebelah pagi dan petang itu, pelumba Monster Yamaha Tech 3 tersebut menunjukkan petanda positif setelah melengkapkan saingan di kedudukan ke-12 dalam FP1 menerusi catatan masa sepusingan satu minit 30.956 saat (s).

Pelumba berusia 24 tahun itu, terus memperbaiki keputusannya dalam FP2 apabila dia melonjak satu anak tangga iaitu di kedudukan ke-11 menerusi lakaran masa sepusingan yang lebih laju 1:30.179s.

Hafizh sendiri dalam kenyataannya kepada media, hari ini, sebaik selesai sesi latihan melahirkan rasa terkejut dengan keputusan yang dicatatnya di Phillip Island.

“Saya berasa sangat bagus! Jujurnya, saya memang sama sekali tidak menjangka bahawa saya mampu memacu jentera selaju ini sejak awal aksi di Phillip Island, kerana trek ini bukanlah litar kegemaran saya. Keputusan yang saya catat di Phillip Island tidak berpihak kepada saya dalam perlumbaan sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Hafizh berkata, menunggang jentera MotoGP di Phillip Island, dia dapat berasakan perbezaan yang wujud dan keyakinannya juga semakin meningkat.

“Keputusan yang saya catat begitu hampir meletakkan saya dalam Q2 (kelayakan kedua) dan saya akui sedikit kecewa terhadap diri sendiri kerana saya perlu berusaha keras untuk meningkatkan kelajuan motosikal saya lagi. Tetapi secara keseluruhan, semuanya okay,” ujar Hafizh.

Hafizh yang kini mengumpul 34 mata dan menghuni di kedudukan ke-17 dalam senarai kejuaraan motosikal dunia, amat berharap cuaca akan berada dalam keadaan baik seperti hari ini, bagi membolehkannya menguji motosikal tanpa sebarang halangan.

“Buat masa ini, jentera berfungsi dengan sangat baik, tetapi esok, sudah tentu kami perlu bekerja keras bagi meningkatkan kelajuan saya dan berharap semuanya berjalan dengan lancar,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN