KUALA LUMPUR 27 Okt. – Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sejarah tersendiri apabila akan memulakan perlumbaan di Litar Philip Island, Australia di petak ke-10 buat kali pertama dalam kariernya.
Pelumba berusia 24 tahun itu bagaimanapun mencemaskan peminat sukan permotoran negara selepas terlibat dengan kemalangan semasa sesi latihan ketiga di sebelah pagi namun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Insiden tersebut terjadi ketika Hafizh sedang memecut menghampiri selekoh, namun motosikalnya hilang kawalan menyebabkan dia terjatuh laju dan berguling ke bahagian tepi litar.
Dia kemudiannya meneruskan sesi latihan keempat sebelum meneruskan aksi di sesi kelayakan dan berjaya mencatatkan 1 minit 30.593 saat untuk memulakan sesi perlumbaan esok di petak ke-10.
“Ini adalah hari yang cukup bermakna buat saya. Saya cukup gembira dengan keputusan ini walaupun pada mulanya saya tidak yakin mampu melangkah ke sesi latihan keempat serta aksi kelayakan.
“Saya cuba menahan kesakitan di bahagian jari, bahu serta siku dan keputusan yang diraih ini jelas memberikan kejutan kepada saya kerana selalunya saya akan lebih berhati-hati di selekoh terutamanya selepas terlibat dengan kemalangan.
“Mungkin kerana saya mahu membuktikan kemampuan sebenar, saya berjaya meraih keputusan yang positif seperti ini. Sekarang ini saya akan berehat kerana jari saya masih sakit kesan daripada kemalangan pagi tadi,” katanya menerusi laman Facebook Yamaha Monster Tech3, hari ini.
Rakan sepasukannya, Johann Zarco akan memulakan perlumbaan di petak ketiga selepas melakukan catatan ketiga terpantas dengan 1:29.705s manakala juara dunia, Marc Marquez akan berada di petak hadapan selepas meraih 1:29.199s dan diikuti rakan senegaranya dari Sepanyol, Maverick Vinales dengan catatan 1:29.509s.










