IPOH 28 Okt. – Kejayaan Perak menjulang Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu FC di Stadium Shah Alam malam tadi disifatkan sebagai hadiah terbaik sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 2 November ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Munaim berkata, semangat tidak mengenal erti putus asa yang ditonjolkan barisan pemain Perak menjadi kunci utama kejayaan itu.
“Seperti saya beritahu semalam, jika menang Piala Malaysia ini, saya bersama penyokong akan mendedikasikannya kepada Sultan Nazrin Shah yang bakal meraikan hari keputeraan baginda pada 2 November ini.
“Bagi saya juga, kemenangan ini dicapai dalam keadaan penuh dramatik dan selepas dua kali kita ketinggalan sepanjang perlawanan. Apa pun tahniah atas kerja keras dan usaha jitu ditonjolkan pemain sepanjang 120 minit aksi, kita berjaya bawa pulang piala,” katanya pada sidang media di Stadium Perak di sini, hari ini.
Perak yang dibimbing Mehmet Durakovic menamatkan penantian selama 18 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia 2018 apabila menumpaskan skuad Sang Penyu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas kedudukan terikat 3-3 dalam aksi penuh perlawanan.
Hasnul Zulkarnain berkata, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada 30,000 peminat bola sepak Perak yang bersama-sama membanjiri stadium selain memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada pasukan.
“Sukar nak menggambarkan dengan kata-kata tetapi sebahagian besar penyokong yang saya jumpa mereka amat gembira dan puas dengan kejayaan ini,” katanya.
Mengulas status Mehmet selaku jurulatih Perak pada musim depan, beliau berkata, pengendali dari Australia itu secara lisan menyatakan persetujuan untuk terus kekal di Perak.
Beliau turut menafikan gaji Mehmet akan dikaji semula berdasarkan peruntukan yang akan diterima pasukan pada musim depan.
“Mustahil prestasi cemerlang dengan membawa pulang satu piala ke Perak, kita akan potong gaji beliau,” katanya. – BERNAMA










