Guru, 12 murid tabika cemas penyamun mengacu pistol    - Utusan Malaysia

Guru, 12 murid tabika cemas penyamun mengacu pistol   

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU – Seorang guru dan 12 murid di sebuah Tabika Kemas di Taman Mahsuri 2,  Jitra di sini berdepan detik cemas apabila seorang lelaki bertindak mengacukan sepucuk pistol dalam kejadian samun semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintedan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kejadan kira-kira pukul 11. 45 tengah hari itu berlaku ketika semua mangsa berada dalam bangunan tabika tersebut.

“Lelaki itu menunjukkan objek yang disyaki pistol ke arah guru dan 12 murid terbabit tetapi suspek bertindak melarikan diri selepas guru berkenaan menjerit.

“Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan dan kerugian,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Mohd. Ismail berkata, selepas itu lelaki terbabit yang berusia 27 tahun telah melakukan samun di kedai aksesori peralatan rumah di Bandar Darul Aman, Jitra  pada pukul 1 petang.

Menurutnya, suspek berkenaan juga menunjukkan satu objek dipercayai pistol sambil meminta wang daripada seorang pekerja wanita ketika memasuki premis tersebut.

“Ketika kejadian pekerja wanita itu berada berseorangan dalam kedai tersebut dan mengalami kerugian satu telefon bimbit jenama Samsung,” katanya.

Beliau memberitahu,  polis yang melakukan siasatan selepas menerima laporan mengenai dua kejadian itu berjaya menahan suspek di Kampung Paya Dudur Mukim Naga, Jitra kira-kira pukul 1 petang tadi.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes memiliki barang curi, ugutan jenayah dan dadah bertindak agresif serta berlaku sedikit pergelutan ketika diberkas.

“Pemeriksaan lanjut di tubuh suspek menemui sepucuk psitol yang disyaki pistol tiruan berwarna hitam dan sebuah telefon bimbit di dalam poket seluar suspek,” katanya.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN