KUALA LUMPUR 21 Okt. – Bekas Perdana Menteri, menempelak tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dikatakan menipu rakyat semata-mata untuk memuji diri sendiri berkenaan situasi kewangan negara.
Najib menjelaskan, corak hasil dan perbelanjaan kerajaan Pusat tidak seragam sepanjang tahun dan adanya faktor ‘bermusim’ disebabkan banyak faktor.
“Jika nak tipu orang yang tidak faham semata-mata untuk memuji diri sendiri, bolehlah tapi kalau nak tipu orang yang faham ataupun ada pengalaman dan pengetahuan, janganlah nak cuba.
“Setiap tahun, hasil untuk bulan-bulan Mei hingga Ogos adalah lebih tinggi daripada Januari hingga April kerana cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dikutip selepas bulan April manakala dividen interim Petronas juga akan diterima pada pertengahan tahun.
“Perbelanjaan bagi empat bulan pertama setiap tahun juga lebih tinggi kerana keperluan awal tahun untuk membayar bonus kakitangan kerajaan untuk tahun selepas, membayar baucar buku, bantuan sekolah, bantuan-bantuan tahunan lain serta pembayaran untuk peruntukan dan program agensi-agensi kerajaan,” katanya di laman Facebook miliknya hari ini.
Semalam, Guan Eng mendakwa kecekapan pengurusan kewangan kerajaan Pakatan Harapan terbukti apabila berjaya meningkatkan sebanyak tujuh kali ganda dalam Akaun Hasil Disatukan hanya dalam tempoh empat bulan. – UTUSAN ONLINE










