CHORZOW, Poland 15 Okt. – Itali terpaksa menanti sehingga minit kedua waktu kecederaan untuk meraih kemenangan pertama di bawah jurulatih Roberto Mancini ketika menewaskan Poland 1-0 dalam Liga Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), hari ini.
Ketika perlawanan seperti akan berakhir seri 0-0, Cristiano Biraghi menghidupkan harapan skuad Azzurri dalam Kumpulan 3, sekali gus memberi sedikit keceriaan buat penyokong yang masih meratapi kegagalan layak ke Piala Dunia 2018.
Sejak dilantik sebagai jurulatih pada Mei lalu, Mancini, 53 masih gagal mencatat kemenangan.
“Kayuhan baru bermula. Kami menguasai permainan dan wajar menjaringkan gol.
“Tidak adil jika keputusan berakhir seri 0-0. Semua pemain telah memberikan yang terbaik.
“Ia satu kemenangan yang bermakna menerusi persembahan yang bagus,” kata Mancini memuji anak-anak buahnya yang berjaya menyingkirkan Poland ke Liga B musim depan.
Biraghi, 26, yang bermain untuk Fiorentina antara tonggak pertahanan paling baru yang dipanggil buat kali pertama dalam skuad Itali.
Namun begitu, dia tidak mengambil masa yang lama untuk meledak gol antarabangsa pertama.
Mancini turut menggandingkan Federico Bernardeschi, Lorenzo Insigne dan Federico Chiesa untuk mengetuai serangan, selain berani meletakkan pemain berusia 21 tahun, Nicolo Barella di bahagian tengah bagi membantu Alessandro Florenzi, Jorginho, Federico Bernardeschi, Giorgio Chiellini serta Marco Verratti.
“Saya terhutang segala-galanya kepada jurulatih. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Davide (Astori, bekas rakan sepasukan di Fiorentina) kerana menjadi mentor saya,” kata Biraghi.
Itali yang menghuni tangga kedua Kumpulan 3 dengan empat mata, kini akan menentang pendahulu, Portugal (enam mata) di Milan pada 17 November ini. – AFP










