Gol ini untuk Vichai - Mahrez - Utusan Malaysia

Gol ini untuk Vichai – Mahrez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 30 Okt. – Bintang Manchester City, Riyad Mahrez mendedikasikan jaringan yang dilakukannya ketika menumpaskan Tottenham 1-0 kepada Vichai Srivaddhanaprabha selepas pemilik Leicester City itu terlibat dalam kemalangan yang memilukan.

Vichai meninggal dunia selepas helikopter yang dinaikinya terhempas sejurus selepas meninggalkan Stadium King Power setelah hadir menyaksikan perlawanan di antara kelabnya menentang West Ham, Sabtu lalu.

Dunia bola sepak terkejut dengan kemalangan tragik itu terutamanya Mahrez yang menghabiskan masanya selama empat tahun di Leicester dan menjadi watak utama membantu pasukan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) dua tahun lalu.

Pemain sayap Algeria itu mempunyai hubungan baik bersama Vichai sebelum membuat keputusan untuk menyertai City.

Mahrez mengakui dia berasa sedih dan berbelah bahagi sama ada mahu beraksi bersama City menentang Tottenham atau tidak namun tetap meneruskan tugasnya kerana pemain berusia 27 tahun itu percaya Vichai pasti mahu dia bermain.

Selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan seawal minit keenam, Mahrez meraikan kejayaannya dengan menunjuk ke arah langit mengingati pemergian Vichai.

“Saat yang sangat sukar untuk saya. Bukan senang untuk menghadapi perkara seperti ini. Bos sangat istimewa untuk saya. Saya menghabiskan masa selama empat setengah tahun di sana dan banyak memori bersamanya. Dia seorang yang baik.

“Saya sangat sedih dan sebab itu ketika saya menjaringkan gol saya menunjukkan ke arah langit memperingatinya. Dia banyak berjasa kepada saya dan Leicester dan sukar untuk menyenaraikannya,” kata Mahrez.

Dalam pada itu, Mahrez memberitahu dia tidak mungkin mengecapi apa yang dimilikinya pada hari ini tanpa bantuan dan sokongan Vichai yang membeli Leicester lapan tahun lalu.

“Dia seperti bapa kerana dia sangat istimewa. Dia sangat baik, penyayang dan berita kematian Vichai dan mereka yang menaiki helikopter bersamanya cukup menyedihkan dan mengejutkan saya.

“Saya sentiasa mahu beraksi. Saya tahu dia juga mahu saya bermain. Dia mempunyai minat yang mendalam terhadap bola sepak. Sukar (menentang Tottenham) namun saya sentiasa memikirkan tentang mendiang. Saya juga sukar untuk tidur,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pengurus City, Pep Guardiola menghamburkan pujian kepada Mahrez kerana mengekalkan fokusnya untuk menghadapi Tottenham walaupun berdepan detik yang sukar.

“Dia mengenali mendiang. Satu kehilangan yang besar untuk seluruh keluarga di Leicester. Dia pernah bersama mereka untuk beberapa tahun. Saya tidak tanya sama ada dia mahu bermain atau tidak kerana saya tahu dia kompetitif. Adakalanya bermain bola sepak boleh membantu anda, bukan untuk melupakannya tapi untuk berfikir dengan lebih positif,” katanya. – AFP

habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN