KUALA LUMPUR 28 Okt. – Belumpun selesai isu bantahan pembinaan pusat penyembelihan ayam di Selayang dekat sini, hari ini giliran sekumpulan peniaga gerai ikan singgang di Jalan Sultan Sulaiman 1 berkumpul bagi menyuarakan pendirian membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu meneruskan projek yang sama di kawasan mereka.
Pengerusi Persatuan Peniaga Jalan Sultan Sulaiman 1, Mohd. Ibrahim Din berkata, projek yang dijangka bermula pada 4 November depan di tapak letak kenderaan di hadapan kira-kira 28 gerai itu tidak sesuai diteruskan kerana bakal menimbulkan pelbagai masalah kepada peniaga .
“Gerai ikan singgang di sini cukup terkenal dalam kalangan pelanggan termasuk pelancong asing, jika diteruskan ia bakal memberi imej buruk kepada negara.
“Peniaga juga bakal berhadapan dengan risiko kerugian yang besar kerana kekurangan pelanggan kesan pencemaran bau daripada lori ayam yang melalui kawasan berkenaan,” katanya ketika mengetuai bantahan di hadapan gerai ikan singgang di sini.
Difahamkan, satu surat bantahan cadangan pembinaan pusat penyembelihan itu telah dihantar kepada pihak DBKL dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, namun belum ada sebarang maklum balas diterima. -UTUSANONLINE










