KUALA LUMPUR 26 Okt. – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan gesaan supaya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali kepada UMNO bukanlah pelawaan nakal.
Sebaliknya, Annuar menegaskan, jemputan itu adalah sesuatu yang serius dari sudut politik demi kepentingan Melayu dan Islam yang menjadi teras perjuangan kedua-dua parti tersebut.
“Ada yang kata jemputan saya kepada Tun (Dr. Mahathir) dan ahli Bersatu sertai UMNO sebagai nakal. Politik bukan untuk bernakal-nakal.
“Saya berfikir dari sudut politik serta kepentingan Melayu dan Islam yang menjadi teras dasar UMNO dan Bersatu. Dengan hanya 13 daripada 124 kerusi dalam Parlimen, Perdana Menteri tidak harus bergantung tali hayatnya kepada ‘musuh’,” katanya dalam status Twitter beliau hari ini.
Semalam, Annuar dalam satu kenyataan mempelawa Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO kerana ramai ahli parti itu masih mempunyai rasa sayang dan menghormati beliau dengan tulus ikhlas.
Lagi pula, kata Annuar, Bersatu pimpinan Dr. Mahathir pula lemah termasuk ada yang terpaksa dibubarkan seperti di Negeri Sembilan. – UTUSAN ONLINE










