SUNGAI PETANI 24 Okt. – Gerai laksa kebok di Kupang, Baling dekat sini yang diarah tutup sementara oleh Kementerian Kesihatan sejak 8 Oktober lepas susulan kes keracunan makanan, akan dibenarkan beroperasi semula sekiranya pengusahanya mematuhi semua arahan dikeluarkan.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Baling akan membuat pemeriksaan dalam masa terdekat bagi melihat sama ada semua teguran yang dibuat terutama berkaitan proses penyediaan makanan dipatuhi.
“Sekiranya pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Baling berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh pengusaha, maka gerai berkenaan akan dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi penguatkuasaan berhubung penjualan minuman beralkohol di sebuah kedai ubat di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya bersama Pejabat Kesihatan daerah berkenaan akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut mengikut prosedur ditetapkan.
Akhbar pada 10 Oktober lalu melaporkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan notis perintah tutup ke atas gerai laksa kebok di Kupang bermula 8 Oktober lalu kerana disyaki mempunyai kaitan dengan 19 kes keracunan makanan termasuk melibatkan dua kematian awal bulan ini.
Jumlah kes kemudian meningkat kepada 83 kes dengan dua kematian melibatkan kejadian di Kedah, Perak dan Selangor.
Ahad lalu, kementerian dalam satu kenyataan mengesahkan agen penyebab keracunan makanan itu berpunca daripada bakteria Salmonella Enterica Serovar Weltevreden.










