ATHENS, Greece – Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 pada skala Richter melanda Greece semalam dan menggegarkan kawasan pelancongan utama, Pulau Zante, kata agensi pemantauan bencana alam.
Bekalan elektrik di bandar utama pulau berkenaan yang juga bernama Zante terputus, manakala jabatan bomba melaporkan bahawa terdapat kerosakan pada jaringan jalan raya di pulau itu akibat tanah runtuh.
Gempa itu menggegarkan selatan Pulau Zante yang dikenali sebagai Zakynthos di Laut Ionian pada pukul 1.50 pagi (waktu tempatan), demikian menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
“Tiada kerosakan pada rumah-rumah berdasarkan laporan awal,” kata seorang jurucakap jabatan bomba kepada agensi berita AFP.
Bagaimanapun, sebuah monumen empayar Rom Timur dari abad ke-12 yang terletak di sebuah pulau kecil dekat Zante rosak teruk, lapor media tempatan.
Gempa bumi itu juga dirasakan di pulau utama Greece termasuk bandar Pyrgos di sebelah barat.
USGS berkata, gempa itu berlaku pada kedalaman 16.6 kilometer di bawah tanah dan dimulakan dengan gegaran bermagnitud 5.0 serta diikuti gempa susulan yang lebih lemah.
Pihak berkuasa berkata, kemungkinan kemalangan jiwa berlaku adalah kecil. – AFP










