KOTA KINABALU 24 Okt. – Blok pembangkang baharu, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) bersedia membentuk kerajaan negeri sekiranya keputusan mahkamah tentang pelantikan Ketua Menteri Sabah yang akan ditentukan esok, memihak kepada bekas penjawatnya, Tan Sri Musa Aman.

Setiausaha Agung GBS, Datuk Masidi Manjun berkata, semua Ahli Jawatankuasa GBS yang juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersedia sepenuhnya untuk mentadbir negeri ini.
“Kita semua sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku, sekiranya keputusan itu memihak kepada GBS, kita sudah bersedia sejak semalam lagi,” katanya ringkas dalam sidang akhbar pengumuman penubuhan GBS di sini hari ini.
Terdahulu Pengerusi sementara GBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengumumkan GBS ditubuhkan secara rasmi yang diwakili semua parti pembangkang negeri iaitu UMNO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). – UTUSAN ONLINE











