Gaya sut moden ke tempat kerja - Utusan Malaysia

Gaya sut moden ke tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lazimnya hitam dan kelabu menjadi pilihan jaket atau blazer untuk digayakan ke tempat kerja kerana mahu kelihatan selamat dan formal, namun tidak ada salahnya jika berani bermain dengan warna yang terang.

Menampilkan gaya lebih segar buat golongan yang mahu kelihatan lebih bertenaga, jenama FV Basics buat pertama kali mengetengahkan koleksi sut iaitu Reese Suit dan Elle Ruffle Suit untuk wanita bekerjaya.

Dengan misi mahu menjadikan wanita moden bekerjaya tampil cantik dan kemas tidak kira ketika acara apa sekali pun, jenama itu meluaskan spektrum gaya ke pejabat dengan padanan yang lebih versatil.

Selesa, bergaya, harga mampu milik serta mampu memberikan ‘kuasa’ dalam berfesyen buat wanita bekerja, koleksi sut kali ini meraikan gaya kasual dan formal dengan suntikan mantera ‘Dress how you want to be addressed’ dan ‘You can have anything you want if you dress for it’.

Didatangkan dengan dua pilihan, kedua-dua koleksi berkenaan mempunyai keistimewaan dan fokus tersendiri buat wanita, apabila setiap helai diberikan sentuhan elemen maskulin dan feminin dalam satu padanan.

Wanita yang inginkan sedikit sentuhan feminin pada sut mereka, koleksi Elle Ruffle Suit amat bertepatan apabila potongannya diberikan sedikit elemen struktur pada blazer dengan mengikut potongan badan.

Tanpa berkompromi tentang kewanitaan, blazer single-breasted itu ditambah perincian ropol di bahagian tepi butang selain ruang poket yang berfungsi pada blazer.

Menariknya, hujung kaki seluar dilipat, boleh dipakai labuh atau senteng mengikut kesesuaian si pemakai.

Didatangkan dengan tiga warna, iaitu kuning mustard, merah salmon dan putih mutiara, Elle Ruffle Suit diberi potongan lebih struktur dan kukuh selain seluar dengan potongan lurus.

Bagi yang ingin kelainan, Reese Suit, iaitu double-breasted blazer yang diberi potongan saiz besar, selain dipadankan dengan seluar senteng paras buku lali dengan dilengkapkan tali pinggang lebar sebagai suntikan kelainan.

Pilihan butang jenis Horn Button memberi sedikit aura glamor serta maskulin dengan gaya jaket saiz besar yang diketengahkan, namun pilihan warna seperti putih, biru tentera laut, oren bata, merah jambu kusam dan hijau memberi transisi kewanitaan.

Biarpun tidak banyak pilihan warna, kedua-dua koleksi sut FV Basics berkenaan menawarkan seleksi warna yang sesuai digayakan ke pejabat, serta majlis-majlis formal lain tanpa kelihatan keterlaluan, walaupun ketika mahu menghadiri acara makan malam atau keluar membeli-belah bersama rakan-rakan.

Menawarkan material selesa dan tidak panas daripada campuran polister, kedua-dua koleksi berkenaan dihadirkan dengan saiz bermula dari XS, S, M, L dan XL serta dijual pada harga RM199.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN