Gaya hidup sihat Perdana Menteri perlu dicontohi - Utusan Malaysia

Gaya hidup sihat Perdana Menteri perlu dicontohi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Orang ramai terutama warga emas perlu mencontohi gaya hidup sihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjalani kehidupan yang sihat dan berkualiti.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, pada usia 93 tahun, Dr. Mahathir merupakan perdana menteri tertua di dunia yang masih bertenaga menjelajah ke banyak negara untuk menghadiri persidangan antarabangsa.

“Seperti kita semua tahu dia hanya makan sekadar cukup dan tidak makan terlalu banyak. Kita harus belajar daripada amalan hidup sihatnya.

“Kita perlu menjaga diet dan makan dengan sederhana kerana ia menyumbang kepada penuaan yang sihat,” katanya semasa berucap melancarkan Program Hari Warga Emas Kuala Lumpur 2018 di Taman Rekreasi Bukit Jalil, di sini hari ini.

Program anjuran Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan dan penuaan sihat dalam kalangan warga emas.

Sementara itu, Khalid memberitahu, DBKL akan mengambil kira hasil penyelidikan oleh H-Care dalam pelaksanaan perancangan bandar di ibu kota.

“Bangunan dan tempat awam akan dibina bersama lebih banyak kemudahan mesra warga emas demi memastikan gaya hidup masyarakat lebih berkualiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN