KUALA LUMPUR 21 Okt. – Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) menggesa Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik agar bertindak secara proaktif dan memastikan agar keputusan kenaikan harga yuran Universiti Malaya (UM) dapat dibatalkan dengan segera.
Presidennya, Muhammad Faizuddin Mohd. Zai berkata, pentadbiran UM perlu fokus kepada usaha untuk menjana pendapatan universiti melalui Sistem Wakaf Pendidikan atau sumber kewangan yang lain dan tidak menjadikan mahasiswa sebagai sumber untuk menampung kos universiti.
“Kenaikan yuran UM oleh pihak pentadbiran tanpa notis baru-baru ini adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Kenaikan sebanyak RM50 bagi penuntut lama dan RM100 bagi penuntut sesi 2018/2019 merupakan beban baharu kepada mahasiswa UM untuk teruskan pelajaran mereka di samping terpaksa untuk berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur.
“Kami percaya kenaikan yuran ini adalah berpunca daripada pemotongan dana oleh kerajaan kepada sektor Pendidikan Negara dalam Bajet 2018 yang melibatkan beberapa universiti awam termasuk UM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










