Galaksi prestij Cooper, Gaga - Utusan Malaysia

Galaksi prestij Cooper, Gaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA tahun lalu, penulis antara peminat ikon pop Lady Gaga yang melompat tanda bahagia dan bangga apabila pemilik nama lengkap Stefani Joanne Angelina Germanotta itu bersetuju untuk membintangi karya A Star Is Born.

Dipasangkan pula dengan hero hebat Bradley Cooper yang turut bertindak sebagai pengarah, boleh dikatakan secara peribadi, kemunculan karya bikin semula (remake) terbabit adalah antara detik yang paling ditunggu pada tahun 2018.

Terima kasih buat nama besar terdahulu seperti Clint Eastwood yang disebut-sebut duduk di bangku pengarah dan Beyoncé yang pada awalnya dikhabarkan terlibat sama dalam projek berkenaan namun ia tidak direalisasikan. Keputusan mereka untuk meninggalkan tawaran naskhah tersebut berfungsi baik kerana memberi laluan kepada bintang Cooper dan Gaga bersinar terang.

Percaya dengan intuisi hati dan tidak terlalu mengendahkan pendapat orang lain terhadap apa yang ingin dikerjakan barangkali memberi keuntungan berganda yang sememangnya tidak disangka. Barangkali itu yang dihadam tulang belakang kuat naskhah berkenaan untuk melunaskan tugas serampang dua mata sebagai pengarah dan juga pelakon iaitu Cooper, 43.

Lebih dramatik, Cooper bahkan pernah diberi amaran oleh beberapa rakan rapatnya supaya tidak mengambil ‘tender’ A Star Is Born sementelah ia akan menjadi penanda aras debut pelakon filem American Sniper itu dalam cabang pengarahan.

Ketidakpercayaan rakan

Namun, Cooper percaya dengan pilihannya. Katanya dalam satu wawancara bersama majalah Entertainment Weekly keluaran Ogos lalu: “Ramai orang memberitahu saya supaya jangan bikin filem ini, mereka termasuklah orang yang saya hormat dan peduli tentang saya. Namun bantahan daripada kawan-kawan, membuatkan saya ingin membuktikan sesuatu.

“Ketika itu, saya tahu keputusan mengarah filem ini berkemungkinan menjadi pengakhiran terhadap segala-galanya andai ia tidak menjadi seperti dirancang. Mungkin ramai akan mempersoalkan, siapa lelaki yang bikin versi keempat filem ini? Usah berangan dan berhenti sahajalah.”

Getus Cooper, alasan kuat yang membulatkan keputusannya untuk melibatkan diri dalam naskhah berkenaan kerana memikirkan ia adalah karya original dan A Star Is Born telah menjadi sumber inspirasi bermain muzik ketika zaman remajanya.

“Dari usia lapan hingga 19 tahun, saya suka menulis lagu. Saya selalu mendapat ilham bait-bait lirik dan melodi dalam kepala ketika kecil. Sempat juga saya menulis beberapa buah lagu.

“Ketika itu, saya mula tahu terdapat suatu perkara yang tidak tertunai yang mungkin saya boleh terjemahkan ke dalam bentuk filem,” kata pasangan kepada model jelita kelahiran Rusia, Irina Shayk itu.

Jelas sekali, pertaruhan dan penantian Cooper telah membuahkan hasil lumayan. A Star Is Born bukan sahaja mengaum dari segi keuntungan walaupun merupakan sebuah filem R-rated (diklasifikasikan sebagai untuk 17 tahun ke atas), ia bahkan mudah diserap sebagai antara pesaing atau prospek terbesar Academy Awards edisi akan datang. Portfolionya sebagai pengarah terus meroket tinggi serta terjemahan karakter Jackson Maine dilabel sungguh cemerlang.

Bercakap tentang kredibilitinya sebagai penyanyi, sampai sekarang penulis masih musykil bagaimana selama ini bakat nyanyian Cooper tidak terhidu karyawan muzik dan membawanya ke studio rakaman untuk membikin album. Ternyata, Cooper bijak menyembunyikan bakatnya sekali gus mengoptimumkan kemampuan muziknya untuk hanya dicernakan pada waktu tepat.

Berbicara tentang kerjasama dengan bintang pop iaitu Gaga, Cooper amat kagum dengan bakat seni pelantun lagu Bad Romance itu. Dedahnya dalam satu temu bual, dia ‘jatuh hati’ apabila melihat penguasaan Gaga dalam sebuah persembahan amal pada tahun 2016.

“Gaga menyanyikan lagu Perancis berjudul La Vie En Rose. Dia membuat semua tetamu dalam dewan terbabit termasuk saya terpukau dengan aura dan vokalnya.

“Ia menjadi alasan untuk adegan tersebut ‘dicipta’ semula dan dimasukkan dalam filem ini. Adegan itu adalah antara momen terpenting. Sejak kejadian itu, kami dengan mudah menemui cetusan kimia termasuk selesa bekerjasama,” jelas figura kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat itu.

Gaga diarah kecilkan hidung

Jika A Star Is Born merupakan produk pengarahan perdana Cooper, filem berkenaan juga menjadi prasasti seni buat Gaga sebagai debut lakonannya di layar perak. Ujar Gaga dalam wawancara bersama majalah Elle keluaran Oktober, kerjasama dengan Cooper berjalan dengan lancar dan mudah.

“Saya hanya mengambil masa sehari untuk bersetuju dengan tawarannya selepas dia melihat persembahan saya pada majlis amal terbabit. Kemudian, dia datang ke rumah saya dan kami berbincang.

“Sebelum itu, saya menyediakan juadah pasta untuknya, kami terus bercakap dan ketawa bersama. Kemudian dia mahu menyanyi. Saya minta izin untuk menyanyi lagu Midnight Special dengannya,” tutur Gaga yang memulakan kerjaya dalam bidang lakonan melalui drama bersiri American Horror Story: Hotel (2015).

Sewaktu mendengar nyanyian Cooper, pemain watak Ally yang ketika itu sedang bermain piano seraya menyanyi menjadi terkesima. Dia berhenti seketika kerana terpegun mendengar suara unik Cooper.

“Saya katakan kepadanya, anda boleh menyanyi dan nyanyian anda sungguh hebat.” jelas Gaga.

Menjelaskan lebih terperinci tentang watak Ally, Gaga berkata, karakter berkenaan dicorakkan daripada pengalaman hidupnya yang bermula agak suram.

“Saya telah melalui banyak perkara yang kurang menggembirakan termasuk ditolak syarikat rakaman pada awal kemunculan. Mereka menyuruh saya melakukan pembedahan mengecilkan hidung, barulah saya boleh menjadi penyanyi.

“Ally dalam A Star Is Born adalah seorang gadis kurang keyakinan diri namun amat berbakat. Industri tidak percaya dengannya namun seorang lelaki bernama Jack membawanya bertemu dengan impian membina nama sebagai penyanyi,” cerita Gaga.

Bangga dan berasa bertuah dapat bekerjasama dengan Cooper, Gaga berkongsi kisah babak pertama yang dilunaskan dalam filem iaitu ketika menjayakan adegan di sebuah restoran Mexico.

“Saya memang tidak akan lupa babak kami yang lakonkan di sebuah restoran Mexico. Cooper datang membawa juadah tacos dan meletakkannya di atas meja. Dia melontarkan dialog namun bukan apa yang ada dalam skrip.

“Saya fikir hanya perlu lontarkan dialog berdasarkan skrip. Saya bingung dan kemudian menangis. Cooper menenangkan saya dan sejak itu, saya mula mengerti berlakon memerlukan komitmen pada jalan cerita bukan dialog dalam skrip semata-mata,” dedah Gaga yang bertunang dengan seorang ejen bakat, Christian Carino dalam acara tahunan, ELLE Women in Hollywood ke-25 baru-baru ini.

A Star Is Born mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 18 Ogos (Khamis) lepas. Filem edaran Warner Bros. Pictures itu mendapat rating tinggi dalam kalangan pengkritik filem antarabangsa.

Filem yang turut dibarisi Dave Chappelle, Sam Elliott, Anthony Ramos dan Rafi Gavron itu mudah diletakkan sebagai barisan hadapan pencabar terbesar dalam Academy Awards. Acara berprestij berkenaan akan berlangsung kurang empat bulan dari sekarang.

A Star Is Born mengisahkan pemuzik bernama Jack (lakonan Cooper) yang mempunyai masalah ketagihan alkohol yang bertemu cinta dengan gadis bernama Ally (Gaga). Ketika Jack parah berdepan konflik dan kerjaya muziknya merundum, bintang Ally sebaliknya memuncak sebagai penyanyi pop.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN