KUALA LUMPUR 25 Okt. – Gaji dan elaun pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah ditetapkan pada kadar yang munasabah.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bayaran gaji atau elaun yang terlalu tinggi kepada pihak yang memimpin institusi tersebut tidak dibenarkan kerana GLC merupakan syarikat milik kerajaan.
Tegas beliau, keputusan itu dibuat termasuk dengan tindakan kerajaan beberapa bulan lalu dengan tidak melantik mana-mana ahli politik membarisi lembaga pengarah mana-mana GLC.
“Maknanya jumlah elaun atau gaji yang dibayar ketika ini adalah satu jumlah yang wajar dan munasabah.
“Kebanyakan GLC utama yang kita telah mengkaji semula keahlian lembaga pengarah adalah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dan Felda. Kita buang semua ahli politik, seterusnya meletakkan golongan profesional untuk mentadbir dan mengurus GLC,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, pendapatan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah sepanjang beliau berkhidmat di Perbendaharaan antara Januari 2011 hingga Jun 2018 adalah sebanyak RM2.94 juta.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jumlah pendapatan itu hanyalah kadar gaji diterimanya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan saja tidak termasuk pendapatan lain seperti elaun ahli Lembaga Pengarah yang jauh lebih besar. – UTUSAN ONLINE










