Fuad rangkul Piala Sultan Mizan 2018 - Utusan Malaysia

Fuad rangkul Piala Sultan Mizan 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU 14 Okt. – Pemenang pingat emas acara berpasukan kuda lasak Sukan SEA 2017, Mohammad Fuad Hashim menjuarai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan yang berlangsung mulai petang semalam di Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, di sini.

Penunggang dari pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET) itu menamatkan perlumbaan sejauh 120 kilometer dengan catatan masa 6 jam 45 minit dan 07 saat membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan, medal, seutas jam tangan dan motosikal Yamaha Ego.

Beliau yang pernah muncul sebagai juara pada edisi 2016 meraih kemenangan berganda apabila kudanya, Mora Makaka dinobatkan kuda terbaik dan meraih hadiah wang tunai RM25,000 di samping pelana.

Tempat kedua dimenangi rakan sepasukannya, Mohd. Faris Haikal Mohd. Hassan Sa’ari dengan hadiah wang tunai RM18,000 manakala Mohd. Sulaiman Muda dari UPM Best (ketiga) menerima RM12,000 dan Mohd. Baharudin Ab. Rahman dari Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) menduduki tempat keempat.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini. Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta beberapa barisan Exco kerajaan negeri serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali.

Kejohanan edisi ke-11  yang  menampil  penyertaan  13 kelab antarabangsa dari dalam dan luar negara itu   dilepaskan oleh  Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada pukul 5 petang semalam.

Sultan Mizan yang menunggang kuda, Ohara Armor turut beraksi dalam perlumbaan yang mengambil masa lebih 12 jam itu yang berakhir pada pukul5.20 pagi tadi.

Mohammad Fuad ketika ditemui pemberita bersyukur dapat mengulangi kejayaan pada tahun 2016 walaupun hakikatnya, Mora Makaka mengalami masalah di samping cabaran dari segi cuaca yang perlu dilalui.

“Keadaan kuda ketika itu 50-50 (ekoran masalah yang dihadapi) tetapi saya cuba juga untuk masuk kejohanan ini dengan menjaga prestasinya. Saya bersyukur Mora Makaka memberi kerjasama yang bagus dan membantu saya.

“Kejohanan kali ini sedikit menguji kerana keadaan hujan lebat dengan trek ditakungi air di samping berdepan saingan kuat daripada pasukan Kuala Lumpur dan Thailand,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN