SETIU 23 Okt. – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengambil inisiatif mewujudkan Taman Dipterokarpa di stesen penyelidikannya di Bari Besar dekat sini bagi menggerakkan penghutanan semula 33 spesies balak berkualiti tinggi yang dikategorikan sebagai terancam.
Langkah itu sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelestarian spesies pokok balak hutan hujan tropika di samping membantu memulih dan menyuburkan semula tanah berpasir jenis Beach Ridges Interspersed with Swales (BRIS ) untuk kegiatan pertanian.
Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, kawasan Bari Besar merupakan sebahagian daripada 65,000 hektar tanah pesisir berpasir di negeri ini dikategorikan sebagai tidak subur kerana mempunyai 90 peratus komponen pasir yang kurang berupaya memegang akar tumbuhan, air, nutrien dan organik.
“Penyelidikan FRIM mendapati penanaman beberapa pokok-pokok hutan bernilai komersial mampu memulihkan tanah jenis BRIS terbabit menerusi pembekalan nutrien secara berterusan seterus menjadikannya subur semula dalam tempoh kira-kira 30 tahun,”ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan taman berkenaan hari ini. Di tapak seluas seluas 0.4 hektar itu ditanam dengan 330 anak pokok terdiri daripada pelbagai spesies yang turut dijayakan bersama kira-kira 100 komuniti tempatan termasuk pelajar.
Menurut beliau, Taman Diterokarpa akan menjadikan stesen penyelidikan ini sebagai pusat rujukan penyelidikan berkaitan balak komersial terulung di negara ini pada masa depan.
Abd. Latif berkata, antara spesies anak pokok yang ditanam ialah keruing neram, cengal, keladan, meranti batu dan meranti rambai daun yang menjadi inspirasi kepada masyarakat terdahulu untuk menamakan penempatan di negara ini termasuk Felda Neram dan Kampung Gong Cengal di Kemaman.
“Inisiatif menyuburkan semula tanah BRIS di Terengganu ini merupakan usaha berterusan sejak 22 tahun lalu sempena pembukaan stesen penyelidikan FRIM Setiu pada tahun 1996 dan ternyata ‘menghijaukan’ semula sebahagian kawasan seluas 53 hektar di sini,”ujarnya.
Abd. Latif berkata, Terengganu juga kaya dengan bioversiti, dan hampir 200 spesies pokok hutan yang dijumpai di negeri ini sejak tahun 2008 masih belum dinamakan lagi.-UTUSAN ONLINE










