BUKIT MERTAJAM 23 Okt. – Sebuah syarikat penyedia perkhidmatan, Flex menjadi syarikat pertama di Pulau Pinang mengambil begitu ramai orang kurang upaya (OKU) mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
Mereka mengambil insiatif menggaji 27 OKU yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan dalam usaha menyahut seruan kerajaan bagi membantu golongan terbabit.
Naib Presiden Flex Penang Malaysia, P. Viswanathan berkata, syarikat itu menjalin kerjasama dengan Pusat Jobs Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang mengendalikan sesi temuduga pada September lalu.
“Sudah pasti ada cabaran terutama dalam aspek komunikasi apabila mengambil pekerja OKU yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan namun syarikat ini bekerjasama dengan juru bahasa isyarat dari Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang untuk membantu menanganinya.
“Ini selaras dengan polisi korporat syarikat yang mahu membantu serta menabur bakti kepada semua tanpa mengira agama, kaum dan bangsa jadi kami mahu memberi peluang kepada semua golongan masyarakat ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Minggu Kepelbagaian dan Inklusif di kilang berkenaan dekat Jalan Perusahaan Baru Perai di sini hari ini yang disempurnakan Pengarah JTK negeri, Sazali Keteh. – UTUSAN ONLINE











