KUALA TERENGGANU 26 Okt. – Kejayaan Terengganu beraksi di final Piala Malaysia menentang Perak di Stadium Shah Alam esok turut memberi limpahan rezeki buat pengusaha percetakan baju tempatan apabila ada yang meraih sehingga 3,000 helai tempahan dalam tempoh seminggu.
Mohd. Isa Che Arifin, 40, tempahan baju penyokong yang diterima bagi perlawanan berprestij kali ini merupakan yang tertinggi sepanjang 14 tahun dia menjalankan perniagaan tersebut.
“Sebaik sahaja pasukan Terengganu layak ke final, beberapa kelab penyokong sudah membuat tempahan dan kami perlu menyiapkannya paling lewat petang hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Isa, permintaan di luar jangkaan itu menyebabkan dia terpaksa menambah pekerja di samping melanjutkan waktu operasi sehingga ke pukul 3 pagi bagi memastikan semua tempahan dapat disiapkan segera.
Katanya, baju penyokong dijual pada harga RM30 hingga RM50 sehelai bergantung kepada jenis rekaan dan kualiti.
“Kami tidak mahu mengecewakan penyokong Terengganu yang berhasrat mengayakan baju penyokong pada perlawanan akhir esok.
“Saya tidak menganggap tempahan itu sebagai beban sebaliknya tanggungjawab yang perlu digalas demi memenuhi hasrat semua penyokong TFC memberi sokongan pada perlawanan akhir nanti,” katanya.
Selain mencetak baju penyokong, syarikatnya juga menyediakan pelbagai kelengkapan lain termasuk topi, topeng dan mafla. – UTUSAN ONLINE










