SUNGAI SIPUT 27 Okt. – Bilangan peratusan ahli parti keluar mengundi pada pemilihan PKR Perak hari ini dijangka rendah iaitu sekitar 20 ke 22 peratus, selari dengan purata di peringkat nasional.
Ketua Koordinator Pemilihan Perak, Abd Rahim Sabli berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan dua faktor iaitu hari bekerja selain sebilangan besar anak muda menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Perak menentang Terengganu di Stadium Shah Alam, malam ini.
“Kita jangkakan yang keluar mengundi, maksimumnya 40 peratus tetapi setakat ini, belum ada mana-mana cabang yang sampai ke tahap itu.
“Sebanyak 60,324 ahli di negeri ini layak mengundi pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau perjalanan proses pemilihan PKR negeri di Dewan Perbandaran Kuala Kangsar di Sungai Siput, hari ini.
Dalam pada itu, Abd Rahim berkata, keputusan pemilihan dijangka akan diumumkan di setiap cabang, kira-kira setengah jam selepas pengundian ditutup pada petang ini.
“Maknanya, bagi keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan cabang (yang dipilih oleh ahli di peringkat cabang), akan diumumkan di cabang tersebut.
“Cuma, keputusan keseluruhan negeri kena dapatkan di ibu pejabat sebab semua laporan akan dibawa ke sana oleh ketua pengawas, jadi keputusan masuk lewat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










