BUKIT MERTAJAM 21 Okt. – Komitmen serta pengorbanan yang ditunjukkan Fauziah Othman membolehkannya dipilih sebagai Tokoh Kokurikulum dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat negeri.
Pengerusi Pergerakan Puteri Islam Pulau Pinang itu menerima anugerah yang disampaikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Jamil Mohamed di sini semalam.
Selain itu, anugerah lain yang disampaikan ialah Anugerah Khas Kepimpinan Kokurikulum kepada Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan, Norhassim Mahat.
Dalam pada itu, seramai tiga guru dipilih menerima Anugerah Khas Guru Hebat iaitu Mohamad Subhi Othman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Hassan Noh; Sharifah Athikah Syed Alias (SMK Seberang Jaya) dan Linda Toh (Penang Free School).
Dalam ucapannya, Mohd. Jamil berkata, sebanyak 24 kategori anugerah diberikan kepada murid, pelajar, pasukan badan beruniform, kelab persatuan, jurulatih dan sekolah serta Pejabat Pendidikan Daerah yang cemerlang dalam pengurusan kokurikulum, sekali gus membantu kecemerlangan dalam bidang kurikulum.
Menurutnya, penerima anugerah itu dinilai dari pelbagai aspek penglibatan dan pencapaian yang menentukan penerimanya adalah yang terbaik serta mampu menyuntik motivasi para pelajar dan pihak sekolah.
“Para pelajar di Pulau Pinang juga telah menempa kejayaan di peringkat antarabangsa dalam beberapa pertandingan berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti pingat emas bagi Projek Inovasi Kejuruteraan di Pusat Pameran Korea di Seoul, Korea Selatan serta dua pingat emas bagi Projek Inovasi Sains Kejuruteraan di Bangkok, Thailand.
“Selain itu, mereka juga cemerlang dalam pertandingan koakademik peringkat kebangsaan, antaranya naib johan Pertandingan Mendeklamasi Syair Sekolah-sekolah Menengah dan Festival Teater Sekolah-sekolah Menengah peringkat Kebangsaan 2018,” katanya.
Dalam pada itu Marzuki berkata, majlis anugerah seumpama itu adalah platform terbaik untuk memberikan pengiktirafan kepada penglibatan aktif pelajar dalam bidang kokurikulum dan kesenian.
Jelasnya, ia bukan sahaja dapat meningkatkan potensi diri untuk bersaing ke peringkat global, malah memupuk jati diri yang mantap dalam mendepani cabaran bagi melahirkan insan yang holistik.











