KLANG – Fasa kedua pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang membabitkan tujuh daripada 22 cabang diadakan hari ini.
Seramai 83,038 ahli parti akan memilih kepimpinan pusat dan cabang bermula pukul 10 pagi sehingga 5 petang ini.
Tujuh cabang yang akan menjalankan proses pengundian ialah Puchong dengan 17,748 pengundi layak, Gombak (9,921), Petaling Jaya Utara (6,136), Petaling Jaya Selatan (7,906), Kuala Langat (14,121), Klang (12,998) dan Selayang (15,104).
Sebanyak 526 tablet akan digunakan untuk pengundian di tujuh cabang berkenaan.
Ketua Koordinator PKR Selangor, Hassan Yusof berkata, pengundian akan bermula pukul 10 pagi ini dan berakhir pada pukul 5 petang.
“Kita jangkakan keputusan awal boleh diketahui seawal pukul 6 petang dan akan dipaparkan di pusat tempat mengundi setiap cabang.
“Selain itu, kita juga akan memaparkan maklumat terkini keputusan Majlis Pimpinan Pusat
(MPP) di portal www.pemilihankeadilan2018.com,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hassan turut mengingatkan semua calon, perwakilan yang mengundi serta penyokong agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan pada pemilihan parti bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Bertandinglah dengan semangat kekeluargaan dan jangan menimbulkan provokasi yang akan mencetuskan kekecohan,” ujarnya.
Fasa pertama pemilihan PKR yang membabitkan sembilan cabang telah diadakan minggu lalu membabitkan seramai 108,857 ahli yang layak mengundi.
Pemilihan berkenaan menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mendahului persaingnya Rafizi Ramli apabila menang di enam cabang dengah jumlah sebanyak 9,337 undi.
Kemenangan itu diperolehi menerusi cabang Sepang dengan 1,183 undi, Kota Raja (1,155), Subang (716), Serdang (1,336), Sungai Besar (648) dan Sabak Bernam (770).
Sementara itu, Rafizi hanya menang di cabang Kapar dengan 1,980 undi, Hulu Selangor (1,630)dan Kelana Jaya (670) dengan jumlah keseluruhan 8,563 undi.
Selangor mempunyai 22 cabang dengan kira-kira 250,000 ahli layak mengundi.
Fasa ketiga pemilihan PKR Selangor akan diadakan pada 28 Oktober ini membabitkan 57,955 ahli di enam cabang iaitu Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat. – K! ONLINE









