JOHOR BAHRU 22 Okt. – Petinju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron mempertahankan rekod tanpa kalahnya apabila menang Kejohanan Tinju Piala Datuk Bandar 2018 di Dewan Serbaguna Adda Heights, Bandar Dato Onn di sini malam tadi.
Beliau yang merupakan pemegang tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Light Heavyweight dan Asian Boxing Federation (ABF) Cruiserweight Championship mencipta kejayaan itu apabila menewaskan bekas juara Asia dari
Thailand, Uthit Punsen.
Kemenangan tersebut amat bermakna apabila beliau berjaya menjulang piala kejohanan itu di negeri kelahirannya di hadapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Beraksi di hadapan kira-kira 1,000 penonton, Farkhan yang ketika ini berada pada kedudukan ke-39 dunia diberi tentangan hebat Punsen.
Bagaimanapun sebelum pusingan keenam bermula, perlawanan dihentikan apabila Punsen menarik diri kerana tidak mampu lagi meneruskan perlawanan sebelum Farkhan diumumkan sebagai pemenang pada pukul 12.02 tengah malam ini.
Farkhan pada pusingan pertama banyak bertahan sebelum agresif dengan melakukan serangan pada pusingan seterusnya dengan menyerang Punsen secara bertubi-tubi.
Selain Farkhan, dua lagi petinju dari Johor iaitu Adli Hafidz, yang menentang Satria Antasena dari Indonesia dan satu-satu petinju wanita, Hayatun Najihin Radzuan yang bertarung dengan Elika Tarigan juga dari republik itu, kedua-duanya turut mencatatkan kemenangan dalam perlawanan awal pada malam ini.
Seramai 100 petinju amatur dan profesional mengambil bahagian dalam kejohanan tinju tersebut yang berlangsung selama dua hari dan berakhir malam tadi.
Kejohanan berkenaan melibatkan 46 bout atau perlawanan dengan lapan kategori iaitu 46-49 kilogram (kg); 49-52kg; 52-56kg; 56-60kg; 60-64kg; 64-69kg; 69-75kg dan 75-81kg.
Petinju yang mengambil bahagian adalah dari Johor dan Pulau Pinang selain luar negara seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Uzbekistan dan Kazakstan.
Kejohanan tahunan anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang kini memasuki tahun kedua itu mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor, Tourism Johor dan FH Promotion (Malaysia). – UTUSAN ONLINE










