JOHOR BAHRU 22 Okt. – Taktikal petinju profesional negara Muhammad Farkhan Haron semasa melawan bekas juara Asia, Uthit Punsen berhasil membantunya muncul juara dalam Kejohanan Tinju Piala Datuk Bandar 2018 pada malam tadi, malah memaksa lawan dari dari Thailand itu mengaku kalah pada pusingan keenam.
Muhammad Farkhan yang bermain secara bertahan pada pusingan pertama, menukar rentak dalam pusingan seterusnya dengan menyerang secara bertubi-tubi sehinggakan Punsen keletihan.
Petinju kelahiran Johor Bahru itu, kemudian berkata dia sedikit kecewa kerana tidak menyangka Punsen akan menyerah kalah terlalu awal.
“Saya sedikit kecewa kerana saya jangkakan perlawanan malam ini akan menjadi sengit. Walau bagaimanapun saya bersyukur dengan kemenangan ini walaupun tidak berapa gembira.
“Ini kerana saya sudah melakukan persiapan dan saya ingat mahu habiskan 10 pusingan, memang dia (Punsen) liat tetapi tidak sangka pula akan menarik diri semudah itu,” katanya.
Kemenangan Muhammad Farkhan, yang merupakan pemegang tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Light Heavyweight dan Asian Boxing Federation (ABF) Cruiserweight Championship, menyaksikannya mempertahankan rekod tanpa kalahnya selepas tujuh perlawanan, termasuk enam menerusi knockout (KO).
Punsen pula memasuki gelanggang di Dewan Serbaguna Adda Heights, Bandar Dato Onn di sini berbekalkan rekod 20 kemenangan dan kini kalah tiga kali.
Muhammad Farkhan juga berkata kemenangannya dibantu oleh kelebihan dari segi ketinggiannya iaitu 175 sentimeter berbanding Punsen sekitar 163 sentimeter namun bukan faktor utama.
“Sebenarnya fizikal kami masing-masing memberikan kelebihan antara satu sama lain, contohnya Punsen mempunyai banyak ruang untuk menumbuk saya pada bahagian muka dan badan manakala saya pula berkelebihan melakukan tumbukan dari jarak jauh,” katanya.
Sebanyak 100 petinju amatur dan profesional dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Uzbekistan dan Kazakstan mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Datuk Bandar 2018 melibatkan lapan kategori dianjurkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Selain Muhammad Farkhan, turut menang ialah pemenang pingat perak Sukan SEA 2017, Adli Hafidz Mohd. Pauzi yang menewaskan Satria Antasena dari Indonesia dan petinju wanita, Hayatun Najihin Radzuan yang mengalahkan Elika Tarigan.











