CHINA 25 0kt. – Trend dalam media sosial terbaharu, #fallingstarschallenge kini merebak ke China dan menjadi ‘semakin hangat’ kerana ramai yang tidak mahu ketinggalan mencuba cabaran itu.
Lapor BBC, trend tersebut bermula di Rusia dan menjadi ikutan pada Ogos lalu terutamanya dalam kalangan golongan hartawan muda di Instagram.
Segelintir anak muda kaya dari Rusia menggunakan tanda pagar #fallingstarschallenge2018 sambil memperlihatkan kereta mewah dan jet persendirian dikelilingi barangan mewah seperti beg berjenama berselerakan di atas lantai.
Trend tersebut menjadi tular seluruh dunia tetapi menjadi semakin popular di China.
Sesetengah pemerhati percaya trend itu memberi makna baharu kerana mempamerkan kekayaaan akan menimbulkan rasa curiga, yang sering dikaitkan dengan rangkaian skandal termasuk boros, rasuah dan penipuan.
Media Cina menonjolkan perbezaan antara penduduk Rusia dan China, sambil menyatakan, walaupun China mengikut cabaran itu namun penduduknya tidak mempamerkan kekayaan mereka.
Meskipun sebelum ini seorang wanita yang mencuba cabaran itu menggunakan kereta mewah didenda atas kesalahan lalu lintas namun mereka yang lain mempunyai idea lebih positif.
Portal berita Sina menggambarkan trend Cina sebagai ‘lebih kreatif’ berbanding Rusia.
Ini kerana, dalam laman sosial Weibo menunjukkan gambar wanita Rusia yang kaya raya ‘jatuh’ dari kenderaan mahal, dikelilingi barangan mewah dibandingkan dengan gambar penduduk China berada di hadapan produk murah, barangan rumah atau barangan yang berkaitan dengan kerja dan kajian mereka.










