Faizal sedia ‘robek’ gawang Korea - Utusan Malaysia

Faizal sedia ‘robek’ gawang Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYERANG skuad hoki negara, Faizal Saari berada pada prestasi terbaik selepas berjaya meledak tiga gol daripada dua perlawanan pada kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Muscat, Oman ketika ini.

Mesin gol Malaysian Tigers itu berharap dapat terus me­nemui sentuhan penyudah sekali gus membantu rakan-rakan sepa­sukannya mencatatkan kemenangan ketiga menjelang aksi menentang Korea Selatan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos malam ini.

Bagaimanapun, Faizal, 27, sedar ia bukan satu tugas mudah kerana Korea Selatan pastinya dahagakan kemenangan susulan mengalami dua kekalahan berturut-turut iaitu 1-3 kepada Pakistan, Jumaat lalu dan 0-2 di tangan Jepun kelmarin.

“Enam mata daripada dua perlawanan amat bagus buat pasukan tetapi masih ada ba­nyak perkara yang boleh diperbaiki.

“Kami tidak boleh leka dan ambil mudah kerana Korea Selatan sememangnya bukan calang-calang pasukan walaupun mereka sudah kalah dua perlawanan setakat ini.

“Saya akan terus berusaha demi kebaikan pasukan dan berharap kami berjaya memperoleh kemenangan seterus­nya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malaysian Tigers setakat ini berjaya mencatatkan dua kemenangan bersih dengan menewaskan Jepun 3-0 pada aksi pembukaan Khamis lalu sebelum menang 3-1 ke atas Oman kelmarin.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans itu perlu mengelak me­lakukan kesilapan mudah selain mempertajamkan serangan di kawasan lawan menjelang aksi bertemu Korea Selatan.

Sepanjang pertemuan antara kedua-dua pasukan, skuad negara berjaya mencatatkan enam kemenangan, empat seri dan 11 kekalahan daripada 21 perlawanan sejak Sukan Olim­pik 1966 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Kali terakhir Malaysian Tigers menewaskan Korea Selatan adalah kemenangan 2-1 pada peringkat liga sepusingan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN