YANGON 19 Okt. – Seramai enam orang etnik Rohingya maut selepas satu kebakaran melanda kem pelarian di negeri Rakhine.
Kebakaran di kem Ahndaw Chay yang menempatkan 4,000 Rohingya dan terletak kira-kira 24 kilometer dari Sittwe berlaku sebelum tengah malam.
“Enam orang melibatkan seorang lelaki dan lima wanita terkorban dalam kebakaran itu,” kata pegawai jabatan bomba, Han Soe.
Tambah Han Soe, kebakaran itu berkemungkinan berpunca daripada dapur sebuah rumah.
“Kami dapat mengawal kebakaran kira-kira pukul 1.10 pagi hari ini dan berjaya memadamkan kebakaran sekitar pukul 3 pagi,” katanya.
Seramai 822 orang kehilangan tempat tinggal, menurut media tempatan. – AFP










