Enam kaki judi dicekup main judi belangkas di Padang Besar - Utusan Malaysia

Enam kaki judi dicekup main judi belangkas di Padang Besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Enam lelaki kaki judi berusia 30 hingga 49 tahun yang merangkumi seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditahan polis ketika sedang asyik bermain judi belangkas di bahagian belakang sebuah rumah di Kampung Kubang Tiga, Chuping, Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 10.15 malam semalam.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, semasa serbuan itu dilakukan, keenam-enam kaki judi itu sedang leka berjudi di bahagian belakang rumah tersebut.

“Polis turut merampas selaras senapang patah dan lapan butir kelongsong peluru, alat perjudian seperti dadu yang mempunyai corak belangkas, ikan, udang dan bunga serta wang tunai berjumlah lebih RM35,000.

“Turut dirampas ialah lesen kad senjata yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Mushar berkata, salah seorang daripada enam suspek itu cuba melarikan diri tetapi cubaan itu gagal.

“Siasatan awal juga mendapati selaras senapang patah dan lapan butir kelongsong peluru itu milik anggota Rela tersebut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN