KEPALA BATAS 27 Okt. – Polis menahan enam lelaki dalam dua serbuan berasingan di Alor Merah dekat Sungai Dua dan Taman Penaga dekat Penaga petang semalam.
Dalam serbuan pertama di Sungai Dua, tiga lelaki berusia antara 34 hingga 50 tahun ditahan di sebuah rumah pada pukul 6 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, polis menemukan 15 paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai heroin dengan anggaran berat 24 gram (g) dan satu paket syabu seberat 0.7 g dalam rumah itu.
Menurutnya, dadah yang dianggarkan bernilai RM1, 000 itu dipercayai untuk jualan di sekitar Sungai Puyu.
“Kesemua yang ditahan positif dadah jenis morfin dan amphetamine. Mereka kini direman selama tujuh hari ubtuk siasatan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan 15 (1) a Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Noorzainy menambah, dalam serbuan di Penaga pukul 6 petang semalam, tiga lelaki berusia antara 17 hingga 28 tahun ditahan.
Jelasnya, polis menemukan satu plastik lutsinar disyaki syabu seberat 0.5g, 55 bungkusan air ketum, 40 botol air ketum serta tiga plastik berisi daun ketum seberat 3 kilogram di rumah itu.
“Dadah itu dipercayai untuk jualan di sekitar Penaga dan dianggarkan bernilai RM750.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) dan 15 (1) a Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










