Empat pusat hiburan digempur - Utusan Malaysia

Empat pusat hiburan digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan 89 warga asing yang disyaki menyalahgunakan pas serta tidak mempunyai permit dalam Operasi Mega 3.0 (Ops Gegar) di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (gambar kecil) berkata, mereka yang terdiri daripada 73 wanita dan 19 lelaki itu ditahan anggota Bahagian Pe­risikan, Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen.

“Antara aktiviti yang dijalankan wanita warga asing di premis itu ialah bekerja sebagai penari dan menjadi gadis kalung yang mana mereka diberi tip bayaran antara RM50 dan RM1,000.

“Wang tunai berjumlah RM2,140 dirampas serta empat warga tempatan yang disyaki bekerja sebagai pengurus premis dan juruwang turut ditahan,” katanya dalam satu kenya­taan di sini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu dalam operasi lain, tiga buah premis hiburan yang terletak di Jalan Imbi dan Jalan P. Ramlee di sini diperiksa pihak berkuasa menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) Siri 48 awal pagi semalam.

Operasi bermula pukul 10 malam itu melibatkan pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pemba­ngunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, operasi berkenaan adalah susulan daripada tindakan penguatkuasaan di beberapa premis pusat hiburan sekitar ibu kota.

Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi dan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302(2)(e) Akta Syarikat 2016 kerana tidak mempamerkan nama serta nombor pendaftaran pada resit.

“Kita telah mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM5,000 atas setiap kesalahan yang dilakukan.

“Seramai 13 pengunjung pula ditahan pihak AADK kerana didapati positif dadah jenis syabu,” katanya kepada pemberita semasa meninjau operasi tersebut.

Kata beliau, pemeriksaan di premis kedua yang terletak bersebelahan premis pertama pula bagaimanapun tidak menemui sebarang kesalahan.

“Pemeriksaan di premis ter­akhir yang terletak di Jalan P. Ramlee pula mendapati ia beroperasi tanpa lesen perniagaan.

“Pemiliknya juga dikesan menggunakan nama dua syarikat berbeza menyebabkan kita bertindak menyita premis ber­kenaan,” katanya.

Susulan itu, pihak DBKL telah mengeluarkan tiga notis kompaun atas kesalahan di bawah akta hiburan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN