KANGAR – Empat menu makanan yang popular di Perlis bakal mengegarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang pada 22 November hingga 2 Disember ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Mansor Omar berkata, empat menu makanan itu ialah masakan berasaskan ikan keli daripada pengusaha Restoran Anjung Keli di sini.
“Selain itu, udang sanggul, laksa Kuala Perlis dan kuetiau yang akan dipilih daripada pengusaha produk makanan itu di sekitar negeri ini.
“Keempat-empat menu makanan ini sememangnya telah popular dan pendedahan terhadap keempat-empat pengusaha makanan ini supaya mereka lebih dikenali bagi peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis di sini sebentar tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, FAMA Perlis akan melancarkan program My Best Buy di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Uniciti Alam di Padang Besar dekat sini.
Menurut Mansor, keunikan program seakan-akan pasar malam itu ialah 10 pelajar instisusi pengajian tinggi (IPT) yang merangkumi pelajar UniMAP, Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga, Kedah, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis akan terlibat.
“Mereka akan memasarkan produk-produk sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan yang dihasilkan di tempat pengajian masing-masing.
“Majoriti mereka merupakan peserta Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis) dan penyertaan mereka bagi mendedahkan mereka perihal selok belok perniagaan dengan lebih meluas,” katanya. – K! ONLINE










