KINABATANGAN – Empat lelaki ditahan kerana memiliki hidupan liar dalam sekatan jalan di kawasan berdekatan Sungai Millian Tongod di sini hari ini.
Tangkapan terhadap empat suspek yang dipercayai kumpulan pemburu berusia antara 23 hingga 43 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 9 pagi hasil daripada maklumat orang awam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Siti Nur’ain Ampuan Acheh berkata, operasi dilakukan JHLS dan Perhilitan negeri menemui dua bangkai rusa dalam milikan suspek.
“Hasil maklumat awam, kita menerima laporan mengenai kemasukan sekumpulan lelaki yang dipercayai pemburu menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan Sungai Millian di sini.
“Sebuah sekatan telah dibentuk untuk melakukan pemeriksaan terhadap kesemua suspek. Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menemui dua bangkai rusa,” katanya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, kesemua suspek kemudian ditahan bagi tindakan lanjut.
Pihak penguat kuasa turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah motosikal dalam serbuan yang sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya. – K! ONLINE











