SUNGAI BULOH – Sebuah syarikat kawalan keselamatan, Anirass Gaya Security Services Sdn. Bhd. semalam menyita empat buah kereta mewah milik sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.
Difahamkan, sitaan tersebut dilakukan selepas Pengerusi Gerakan Baju Merah berkenaan gagal melunaskan hutang sebanyak kira-kira RM200,000 kepada syarikat kawalan keselamatan terbabit.
Terdahulu, syarikat berkenaan telah mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Majistret Shah Alam menerusi surat sitaan yang diterima pada 5 Oktober lalu.
Menurut Pengarah Urusan Anirass Gaya Security Services Sdn. Bhd., Datuk Seri Samsul Khamis@Salleh, Jamal diberi tempoh 14 hari untuk melunaskan hutang berkenaan.
“Kita difahamkan, Jamal mula berhutang dengan syarikat ini sejak Januari 2014. Syarikat ini membekalkan perkhidmatan kawalan keselamatan untuk premis menjual kereta yang dimiliki Jamal di Jalan Pahang.
“Jumlah asal hutangnya hanyalah kira-kira RM56,000 namun selepas mengambil kira kos saman dan faedah ia kini berjumlah kira-kira RM200,000,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.










