Empat beradik daripada empat madu terima diploma sepentas - Utusan Malaysia

Empat beradik daripada empat madu terima diploma sepentas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Empat beradik lakar sejarah berkongsi pentas yang sama dan masing-masing menerima Diploma Perakaunan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-89 di UiTM Cawangan Kelantan di sini semalam.

Empat beradik lain ibu itu masing-masing berumur 21 tahun dan merupakan anak pemilik firma akauntan, Datuk Dr. Zulkepli Mohamed iaitu Juliana Aziera merupakan anak sulung daripada empat beradik yang lahir pada bulan Februari diikuti Ayu Syaheera (Oktober) manakala, Zul Azril dan Zul Azrul pada November.

Lebih manis apabila melihat empat madu, Datin Hasnah Mat Ya, 59, Rafizah Senawi, 51, Nurida Razali, 51, serta Norreha Abdul Rahman, 48, amat rapat  sewaktu menghadiri hari bersejarah anak masing-masing. 

Zulkepli yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma berkata, dia amat berbangga dengan kejayaan anak-anaknya di mana dua daripadanya iaitu Ayu Syaheera dan Zul Azrul memperoleh Anugerah Naib Canselor apabila masing-masing mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89.

“Saya berbangga dengan kejayaan mereka. Saya memang bersepakat dengan mereka supaya memilih subjek perakaunan kerana kelak saya mahu anak-anak meneruskan perniagaan saya dalam bidang perakaunan ini. 

“Saya bercadang untuk menempatkan mereka di firma akaun milik saya sendiri bagi menggantikan saya satu hari nanti. Malahan, sekarang Ayu dan Juliana sedang berkerja dan mencari pengalaman di syarikat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, Zul Azril dan Zul Azrul pula sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UiTM Machang dan Puncak Alam pada Mac lalu. 

“Saya bersyukur dengan kejayaan bersejarah dalam keluarga kami ini dan harap mereka akan terus maju di masa hadapan,” katanya.

Menurut Ayu Syaheera di sebalik kejayaan tersebut, sebenarnya berkat usaha bapanya yang turut sama membantu anak-anak mengulangkaji pelajaran. 

“Kami sentiasa belajar bersama dan saling tolong-menolong antara satu sama lain tetapi papa juga merupakan rujukan utama kami. Kami akan berbincang dengan papa seandainya tidak memahami sesuatu subjek sama ada secara berhadapan ataupun melalui aplikasi WhatsApp.

“Kami juga bersaing secara sihat sesama sendiri untuk mencapai keputusan cemerlang setiap semester. Kami adik-beradik akan saling tunjuk ajar sesama sendiri dan sentiasa bersama dari kecil lagi, ” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN