Empat ahli Geng Wan samun apartmen tumpas - Utusan Malaysia

Empat ahli Geng Wan samun apartmen tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG – Kumpulan samun dan pecah rumah, Geng Wan yang dianggotai empat lelaki tempatan tumpas dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Apartmen Cybercity di sini semalam.

Dalam serbuan antara pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam itu, empat suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka dan tempat parkir kenderaan di sekitar kawasan apartmen terbabit.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, kesemua suspek yang menetap di kawasan apartmen yang sama didapati aktif melakukan jenayah samun di kawasan sekitar sejak awal bulan ini.

“Modus operandi adalah menyasarkan kediaman yang tidak berpenghuni sebelum bertindak memecah masuk rumah mangsa.

“Selain kediaman tidak berpenghuni, suspek turut menyasarkan rumah yang tidak berkunci,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini hari ini.

Haris berkata, tangkapan kesemua suspek itu berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan samun melibatkan kerugian sebanyak RM37,000 yang dilaporkan di apartmen tersebut.

Katanya, hasil tangkapan polis turut menemui sebuah Perodua Myvi hitam yang disembunyikan di sebuah apartmen di Kinarut dekat sini.

“Selain kereta, suspek juga menyasarkan barangan berharga seperti peralatan elektronik dan barang kemas,” jelasnya.

Tambahnya, ketika serbuan, suspek cuba melupuskan barang bukti dengan membuang hasil curi di tong sampah di kawasan sekitar.

“Barangan curi akan digadai, dijual secara online atau ditukar untuk mendapatkan bekalan dadah jenis syabu,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam rumah dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN